Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma adalah sebuah sekolah yang memberi pendidikan kepada murid berkeperluan khas penglihatan. Sekolah ini terletak di Bukit Mertajam Pulau Pinang. SKPK Alma memberi pelbagai kemudahan kepada murid berkeperluan khas seperti asrama, peralatan khas penglihatan dan tenaga pengajar yang berpengalaman. Kategori murid yang layak untuk ke sekolah ini adalah murid yang mempunyai masalah penglihatan seperti buta dan rabun.

Wednesday 18 January 2012

Kisah Seorang Murid SKPK Alma

Menjalani hari-hari tanpa dapat menyaksikan keindahan alam ibarat satu kurniaan hilang dalam diri, sekadar mampu meneka berbekalkan pancaindera yang tersisa. Ketabahan menjadi kekuatan untuk meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan yang Maha Kuasa. Gerakan alunan bunyi tongkat menjadi teman mencari arah tujuan dan adakalanya rakan-rakan  menghulurkan bantuan. Namun, sampai bila hendak mengharapkan ehsan mereka?  Gusar lahir keluhan bosan di bibir teman, tatkala menghulurkan bantuan kepada hamba Tuhan yang buta ini.
BK6m13a.jpg
M. Ruvindiran sedang menunjukkan cara menggunakan mesin Braille
Kecekalan diri menempuhi segala musibah yang menimpa menjadikan M. Ruvindiran ibarat pahlawan yang tidak pernah mengalah. Lahir sebagai seorang insan yang mengalami kecacatan penglihatan sejak kecil tidak pernah mematahkan semangat beliau apatah lagi menyalahkan takdir ketentuan Tuhan yang Maha Pencipta. Walaupun pernah rebah tatkala diasak tekanan dari ahli keluarga, tetapi untuk membuktikan segala dakwaan mereka bahawa orang buta hidupnya tiada arah tujuan, beliau bangkit untuk membuktikan kemampuan dirinya.
Bagi siswa jurusan Kerja Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) ini, walaupun ditakdirkan buta sejak lahir tetapi beliau bersyukur kerana masih dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. M. Ruvindiran menjalani rutin harian sama seperti siswa lain yang banyak menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran dan mencari bahan rujukan di perpustakaan bersama rakan-rakan.
Anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti beliau akan bergelar seorang siswa di USM lantaran pernah kecundang setelah mendapat tekanan dari ahli keluarga yang kurang memahami kekurangan dirinya apatah lagi dalam masa yang sama beliau mendapat keputusan yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Namun atas keyakinan pada diri sendiri pada tahun 2010 beliau telah mengambil keputusan untuk menduduki semula peperiksaan STPM dan akhirnya memperolehi keputusan yang cemerlang.
Menurut M. Ruvindiran, kegagalan merupakan satu sejarah pahit dalam menjalani kehidupan, tetapi kita harus menganggap kegagalan itu sebagai satu permulaan. Adakalanya peluang kedua lebih baik dari peluang pertama, manfaatkanlah kesempatan yang ada untuk membuktikan kemampuan diri.
“Kegagalan lalu menjadikan saya lebih bersemangat untuk membuktikan bahawa orang kelainan upaya juga boleh berjaya. Akhirnya, dengan tekad dan dorongan guru-guru, saya dapat mencapai impian untuk melanjutkan pengajian sekaligus membuktikan bahawa orang kelainan upaya juga boleh berjaya sama seperti orang lain,” jelasnya dalam nada berseloroh.
Pendidikan awal
Siswa yang lebih dikenali sebagai Zeck dalam kalangan rakan-rakan ini memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma di Bukit Mertajam, kemudian melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alma. Pada tahun 2008, beliau telah menyambung pengajian Tingkatan Enam di SMK Tunku Abdul Malik, Alor Setar yang menawarkan program integrasi campuran di antara pelajar normal dan pelajar kelainan upaya.
Semasa di Tingkatan Enam, guru merupakan pendorong utama beliau untuk berusaha menimba ilmu dan golongan pendidik ini sentiasa menyuntik kata-kata semangat agar dirinya tidak  mudah berputus asa. Walaupun mengalami masalah kelainan upaya, M. Ruvindiran tidak pernah disisihkan oleh guru dan rakan-rakannya malah dengan rela menghulurkan bantuan untuk meringankan bebannya.
“Semasa menuntut di SMK Tunku Abdul Malik saya menghadapi suasana pembelajaran yang baru. Ketika di SMK Alma dahulu, saya ditempatkan di kelas pendidikan khas, tetapi di sini saya ditempatkan bersama pelajar normal yang lain.
“Namun dengan bantuan rakan-rakan dan guru saya mampu berhadapan dengan pembaharuan ini. Bahan-bahan untuk sesi pembelajaran akan disediakan oleh guru dan setelah tamat waktu kelas, saya dan rakan-rakan kelainan upaya yang lain akan menghadiri kelas khas,” jelas jejaka berusia 21 tahun ini.
BK6m13b.jpg
 Peranti yang digunakan untuk M.Ruvindiran menyiapkan tugasan yang diberikan
Cabaran seorang pelajar kelainan upaya
Menurut M. Ruvindiran, peluang keemasan untuk melanjutkan pengajian di USM tidak akan disia-siakan apatah lagi berpeluang menjadi perintis Pelajar Kelainan Upaya (PKU) yang mengalami masalah cacat penglihatan.
“Ini adalah peluang untuk membuka lembaran baru buat PKU menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Keputusan untuk memilih bidang kerja sosial juga adalah pilihan yang tepat, kerana ia membolehkan saya berkhidmat untuk masyarakat.
“Kebanyakan masa lapang saya digunakan untuk menyalin semula nota kuliah. Penerangan oleh pensyarah di dalam dewan kuliah akan saya rekodkan menggunakan alat perakam suara dan kemudiannya saya akan mendengar semula rakaman tersebut sebelum menaip nota menggunakan mesin Braille,” jelasnya.
Selain itu, bantuan teman turut membantu pergerakan beliau untuk ke perpustakaan dan menghadiri kuliah. Ahli sukarelawan yang diwujudkan untuk membantu PKU turut melancarkan proses pembelajaran beliau di universiti. Rakan-rakan sukarelawan berperanan untuk membantu M. Ruvindiran untuk mendapatkan bahan bacaan dan berkongsi maklumat sebagai rujukan bagi menyiapkan tugasan yang diberikan.
“PKU yang mengalami masalah kecacatan penglihatan seperti saya perlu berusaha dua kali ganda berbanding siswa lain tetapi ia tidak pernah melemahkan semangat saya untuk meneruskan pengajian. Kekurangan ini bukan satu beban, tetapi merupakan satu cabaran baru dalam menjalani kehidupan. Apabila menjejakkan kaki ke universiti ia adalah ibarat seperti melangkah ke alam baru,” jelas anak sulung dari dua beradik ini.

Masih sama seperti mereka
Walau terbatas pergerakannya ia tidak menghalang M. Ruvindiran untuk menyertai aktiviti yang dijalankan oleh pihak universiti. Beliau masih sama seperti siswa-siswi lain yang aktif dengan menyertai program-program yang dijalankan. Siswa yang gemar menghabiskan masa melayari internet ini pernah terlibat menjadi ahli panel dalam program diskusi pelajar PKU yang dianjurkan oleh Kelab Kerja Sosial dan Kelab Penyayang. M. Ruvindiran juga ialah seorang Ahli JawatanKuasa (AJK) Belia Persatuan Buta Malaysia, Cawangan Wilayah Selangor dan turut terlibat sebagai pemerhati Dewan Perundingan Pelajar (DPP) USM.
Berbekalkan azam yang tinggi, M. Ruvindiran ingin berusaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sekaligus berhasrat ingin menabur bakti kepada masyarakat. Pemuda yang berjiwa kental ini juga menanam impian untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ruang dan peluang yang diberikan tidak akan disia-siakan, malah jika berpeluang saya ingin melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah,” ujarnya.
Perjuangan M. Ruvindiran ibarat tiada noktahnya, selagi ada kudrat yang dikurniakan tuhan perjalanan menyelusuri kehidupan sebagai siswa dihadapi dengan penuh kesabaran. Segala dugaan yang mendatang dianggap sebagai satu cabaran dan keyakinan kepada diri menjadi kekuatan untuk meneruskan kembara ilmu beliau.